Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Pelajar ejen penyebaran maklumat positif, berkesan

‚Äč(BERITA02)INFODEPT13_04.jpg

(BERITA02)INFODEPT13_03.jpg

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas

 

JERUDONG, Sabtu, 29 Februari. - Lebih 300 orang pelajar dari Tahun 9 dan 10 serta tenaga pengajar Sekolah Menengah Sayyidina Husain menghadiri Program Rakan Remaja Penerangan (RRP) yang bertujuan untuk memberikan kesedaran sivik dan semangat kenegaraan terutama kepada golongan remaja ke arah pembentukan minda dan moral yang positif.

 

Program RRP anjuran Jabatan Penerangan melalui Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan itu turut dihadiri oleh Pengetua Sekolah Menengah Sayyidina Husain, Dayangku Hajah Nooramaliatifah binti Pengiran Haji Ahmad, berlangsung di Dewan Serba guna Sekolah tersebut.

 

Acara dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' dan diikuti Lagu Patriotik 'Bendera Negara'. Penolong Pegawai Penerangan, Dayang Hajah Noor Hijrah binti Haji Idris selaku wakil Ketua Unit Kenegaraan dalam taklimatnya antara lain menekankan mengenai peraturan dan cara mengibarkan Bendera Negara di mana bendera yang koyak dan luntur tidak boleh dinaikkan serta hendaklah diganti dengan yang baharu.

 

Taklimat bertajuk 'Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam' juga menegaskan sebarang tanda, huruf, perkataan, rajah, bentuk lukisan atau lambang selain lambang yang ada pada masa ini tidak boleh diletakkan pada bendera. Tambahnya, bendera jangan sesekali menyentuh sebarang benda di bawahnya misalnya lantai, tanah, air dan sebagainya.

 

Program tersebut turut diserikan dengan persembahan hadrah daripada para pelajar sekolah itu dan tayangan slide Hari Kebangsaan serta dimeriahkan dengan lawak jenaka dan kuiz kenegaraan daripada pelawak tanah air, Dayang Hajah Kasumawati binti Haji Buntar dan Haji Mohd Firdaus bin Haji Salleh.

 

Program Rakan Remaja Penerangan merupakan program persembahan khusus bagi peringkat remaja terutama pelajar sekolah dalam menyebarluaskan maklumat dan kegiatan semasa.

 

Selain itu, ia juga untuk mendekati para remaja di sekolah-sekolah supaya peka dengan perkembangan semasa menanamkan semangat kenegaraan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan remaja serta menjadikan para pelajar sebagai ejen dalam penyebaran maklumat yang positif dan berkesan kepada rakan sebaya.


Attachments
Created at 17/03/2020 11:01 AM by Mohammad Wirman Bin Hj Matussin
Last modified at 17/03/2020 11:01 AM by Mohammad Wirman Bin Hj Matussin