Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Suntik semangat ASEAN-ness

INFODEPT11-00001.jpg

INFODEPT11-00003.jpg

​Siaran Akhbar : Jabatan Penerangan / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman

  

BELAIT, Khamis, 5 Mac. - Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Hal Ehwal Antarabangsa selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI kali ini mengadakan Jerayawara Kenali ASEAN di Sekolah Menengah Sayyidina Ali (SMSA).

 

Program tersebut adalah salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness) dalam kalangan penuntut-penuntut dalam sama-sama menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan, dalam masa yang sama juga dalam mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya penuntut-penuntut di Negara Brunei Darussalam.

 

Program yang berlangsung di Dewan SMSA itu dihadiri seramai 169 penuntut sekolah berkenaan berserta tenaga pengajar sekolah tersebut.

 

Taklimat Kenali Negara ASEAN bertujuan untuk membarigakan serta membuat pendedahan meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada penuntut-penuntut sekolah menengah di negara ini kerana mereka adalah golongan belia yang bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya berperanan penting dalam memangkin hala tuju negara ini.

 

Ia juga dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan penuntut-penuntut sekolah mengenai ASEAN selain untuk mengenal pasti sejauh mana para penuntut mengetahui tentang ASEAN dan peranan organisasi tersebut dalam membangun negara-negara anggotanya.

 

Taklimat juga dapat menanamkan kesedaran dan rasa milik di kalangan para penuntut sekolah sebagai satu masyarakat ASEAN, selaras dengan Moto ASEAN : Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti (One Vision, One Identity, One Community).

 

Antara pengisian program ialah Taklimat Kenali ASEAN yang disampaikan oleh Pemangku Pegawai Penerangan, Dayang Hajah Noorhijrah binti Haji Idris, selaku Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Penerangan.

 

Diikuti dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam 'Allah Peliharakan Sultan' dan Lagu Tema ASEAN 'The ASEAN Way' dan seterusnya menyaksikan tayangan klip video mengenai ASEAN.

 

Kuiz ASEAN dikendalikan oleh Pegawai Luar Penerangan, Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Penerangan, Dayang Dona Azfina binti Ibrahim.

 

Program diteruskan dengan penyampaian hadiah Kuiz ASEAN kepada lima orang penuntut dan penyampaian cenderamata.

 

Program juga diselajurkan dengan mempromosikan aplikasi mudah alih 'We ASEAN' yang mengandungi maklumat mengenai ASEAN dan negara-negara ahli ASEAN, Kalendar ASEAN, kuiz, galeri gambar dan video. Aplikasi tersebut merupakan salah satu projek di bawah Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI. Ia boleh dimuat turun melalui Google Play bagi pengguna Android and App Store bagi pengguna iOS.


Attachments
Created at 18/03/2020 03:16 PM by Mohammad Wirman Bin Hj Matussin
Last modified at 18/03/2020 03:16 PM by Mohammad Wirman Bin Hj Matussin