
Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BERAKAS, Rabu, 6 Januari. - Sesi Lawatan Kerja dan Muzakarah Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) dihasrat akan dapat memberikan sudut pandang, idea dan saranan serta nasihat yang sangat berguna dari kaca mata rakyat dan masyarakat bagi Jabatan Penerangan khususnya dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada umumnya.
Seterusnya, selaku jentera dan instrumen kerajaan ke arah memberkesankan lagi peranannya selaku media rasmi kerajaan dan rakan strategik pembangunan jati diri dan sahsiah bangsa, kemurnian agama Islam dan ketaatan beraja ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.
Timbalan Setiausaha Tetap (Perkhidmatan Awam, Kesejahteraan, Antarabangsa dan Media), JPM, Awang Haji Muhammad Suffian bin Haji Bungsu berkata demikian pada Sesi Muzakarah Ahli-ahli MMN bersama Jabatan Penerangan, JPM bertempat di Bilik Persidangan Tingkat 2, Jabatan Penerangan, di sini.
Terdahulu, Awang Haji Muhammad Suffian dalam ucapan alu-aluannya menyatakan, Jabatan Penerangan berperanan sebagai lidah dan telinga kerajaan dalam menyampaikan maklumat dan berita mengenai dasar, aktiviti dan program kerajaan dan mendengar isu-isu terkini serta memahami agenda media massa.
Sebagai salah satu agensi penyumbang maklumat rasmi kerajaan tambahnya, Jabatan Penerangan mengambil serius untuk memastikan apa jua maklumat yang disampaikan adalah maklumat terkini dan betul.
''Untuk memastikan Jabatan Penerangan terus relevan, pelbagai usaha telah, sedang dan akan dibuat seperti pelaksanaan strategi kerja yang lebih sistematik dan fokus, jabatan ini sentiasa berusaha ke arah menambah nilai setiap program yang dirancang dan disusun. Ini diperkukuhkan lagi dengan adanya kefahaman dan komitmen setiap pegawai dan kakitangan dalam melaksanakan program-program yang dirancang,'' ujarnya lagi.
Menurut beliau, maklumat-maklumat mudah saja didapati di hujung jari, sama ada maklumat itu positif atau negatif terpulang kepada penggunanya dan jabatan berkenaan terpanggil untuk mengimbangi penyebaran maklumat-maklumat atau bahan-bahan yang kurang tepat melalui peningkatan jumlah terbitan jabatan.
Bukan itu sahaja, pencapaian yang dapat dilihat pada masa kini ialah, berita-berita Pelita Brunei jelasnya, boleh dilayari secara dalam talian setiap hari seawal 8.30 pagi, manakala e-Paper Pelita Brunei dimuat naik setiap Isnin, Rabu dan Sabtu dan dapat dilayari menggunakan komputer mahupun telefon pintar.
Beliau menambah, akhbar berkenaan telah menempuh proses pembaikan demi pembaikan, sama ada dari segi 'font', 'layout', malah ruangan-ruangan yang terdapat di dalamnya. Sementara itu, lokasi-lokasi pengedaran Pelita Brunei yang lebih strategik juga telah disusun semula untuk memastikan orang ramai mudah mendapatkan naskhah Pelita Brunei.
Jabatan Penerangan juga terangnya, terus membudayakan masyarakat bermaklumat melalui perlaksanaan program-program kenegaraan dan kemasyarakatan, seperti Program Sua Muka, Program Muzakarah Penerangan, Program Masyarakat Bermaklumat, Taklimat Kenegaraan, Program Perkampungan Kursus Sivik Lepasan Ijazah dan banyak lagi.
''Untuk memastikan yang perkhidmatan Jabatan Penerangan terus 'current' atau terkini, media baharu, seperti aplikasi Mudah Alih Jabatan Penerangan 'InfoDeptBN', media sosial, seperti Facebook, Instagram dan Twitter digunakan sepenuhnya oleh Jabatan Penerangan dalam penyebaran maklumat yang lebih berkesan dan dapat menjangkau kepada masyarakat dengan lebih jauh lagi.
Selaku salah sebuah agensi kerajaan di bawah pimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, 'kitani' berperanan penting dalam 'mengelinga' hal rakyat. Perlunya untuk kita sama-sama memperlihatkan kepekaan kerajaan kepada rakyat dan sekali gus dapat menanam rasa sayang, kepada ketua negara dan sayang kepada tanah air sendiri,'' tambah beliau lagi.