Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Tanam semangat patriotisme dalam diri pelajar

Berita dan Foto : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 23 Januari. - Kita perlu mengibarkan Bendera Negara Brunei Darussalam (NBD) sebagai tanda kesyukuran serta kegembiraan dan menyemarakkan hari-hari istiadat, seperti Istiadat Perkahwinan Diraja dan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Selain itu, ia merupakan mercu tanda bagi perayaan hari-hari kebesaran negara, juga untuk menzahirkan dan menanamkan semangat patriotisme dan nasionalisme dalam kalangan rakyat dan penduduk di negara ini.

Demikian antara inti pati Taklimat Kenegaraan 'Raja Kita, Menghayati Bendera Negara dan Lagu Kebangsaan NBD' yang disampaikan oleh Pemangku Penolong Pegawai Penerangan, Dayang Zurairah binti Haji Lisa bertempat di Perpustakaan Sekolah Menengah Awang Semaun (SMAS), di sini.

Dayang Zurairah juga mengongsikan garis pandu menggunakan Bendera Negara, antaranya tiang bendera yang digunakan di hadapan bangunan-bangunan dan rumah-rumah kediaman hendaklah tidak melebihi 20 kaki atau 6.09 meter tinggi.

Rumah-rumah kediaman atau pangsa yang tidak mempunyai kawasan untuk mendirikan tiang bendera, boleh diikat pada satu tiang di beranda atau dinding dengan kecondongan 30 darjah.

Sementara hotel-hotel dan bangunan yang seumpamanya hendaklah mengibarkan bendera di atas bangunan atau hadapan bangunan dengan syarat tiang bendera itu tidak dipacakkan ke tanah.

Jika hotel mempunyai bendera sendiri, maka hendaklah tiang bendera itu diletakkan di sebelah kiri daripada tiang Bendera NBD. Manakala tiang bendera tidak kurang dari 10 kaki jika di atas bangunan dan jika di hadapan bangunan pula ialah tidak kurang dari 20 kaki tinggi.

Seramai 97 pelajar Tahun 7 SMAS berpeluang mendengarkan taklimat berkenaan dan kemudiannya menyaksikan klip video 'Semarak Pengibaran Bendera Negara' dan video animasi 'Tatacara Menaikkan Bendera Negara'.

Taklimat diakhiri dengan kuiz berkisarkan penerangan yang disampaikan dengan hasrat dapat mengukuhkan lagi semangat solidariti, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri mereka.

BERITA05B.jpg

BERITA05A.jpg

Attachments
Created at 27/01/2021 10:03 AM by Mohammad Khaiddir Shah Bin Hj Abdul Halim
Last modified at 03/02/2021 11:04 AM by Mohammad Khaiddir Shah Bin Hj Abdul Halim