Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Hamzah Mohidin
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 24 Februari. - Akhbar Rasmi Kerajaan, Pelita Brunei kini mencapai usianya 65 tahun sejak ia mula diterbitkan pada 15 Februari 1956 dan kini ia berkembang selaras dengan teknologi terkini yang lebih canggih sesuai dengan kerja-kerja penerbitan.
Sehubungan itu, Jabatan Penerangan melalui Bahagian Pelita Brunei mengadakan Majlis Membaca Surah Yaa Siin, Tahlil dan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Jubli Nilam Akhbar Rasmi Kerajaan Pelita Brunei Ke-65 Tahun, hari ini, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Masjid Ash-Shaliheen ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud.
Juga hadir pada majlis tersebut, Setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan pegawai-pegawai kanan di Jabatan Perdana Menteri, Pemangku Pengarah Penerangan, para pegawai serta kakitangan Jabatan Penerangan.
Terlebih dahulu, acara dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat yang diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Mohammad Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran.
Setelah menunaikan Sembahyang Sunat Hajat, majlis diteruskan dengan bacaan Surah Yaa Siin dan Tahlil yang dipimpin oleh Penolong Ketua Imam masjid berkenaan, Awang Mohammad Syariff Wafiuddin bin Jemain.
Majlis diselajurkan dengan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Mohammad Izzat Izzuddin yang juga mengimamkan Sembahyang Fardu Asar. Inti pati doa mengungkapkan semoga Akhbar Rasmi Kerajaan, Pelita Brunei khususnya para kakitangan supaya kekal berusaha menghasilkan dan menerbitkan Akhbar Rasmi Kerajaan Pelita Brunei khususnya dalam menyebarkan maklumat secara berkesan, efisien, berintegriti dan berkredibiliti tinggi.
Dalam usianya 65 tahun, Pelita Brunei banyak menghadapi cabaran dan rintangan tetapi masih lagi kekal relevan dan terus menanai tanggungjawabnya membarigakan maklumat mengenai dasar dan aktiviti kerajaan kepada setiap pelosok dan lapisan masyarakat di Negara Brunei Darussalam.
Untuk sebarang pemakluman, orang ramai boleh melayari laman sesawang Pelita Brunei 'www.pelitabrunei.gov.bn' dan mengikuti akaun-akaun media sosial Pelita Brunei iaitu Facebook : 'Pelita Brunei'; Instagram : 'pelitabrunei' dan Twitter : 'pelitabrunei'.


