Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
COVID-19 : 106 kes baharu, 1 kes meninggal dunia

​ COVID-19 : 106 kes baharu, 1 kes meninggal dunia

106Kes.jpg

Oleh : Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Azmah Haji Ahad


BERAKAS, Rabu, 6 Oktober. - Kementerian Kesihatan dengan rasa dukacita memaklumkan kepada orang ramai bahawa pada hari ini, satu kes yang disahkan COVID-19 meninggal dunia.


Kes tersebut ialah seorang perempuan berumur 71 tahun, yang merupakan Kes 5299, yang mengalami masalah paru-paru setelah dijangkiti COVID-19 dan menerima rawatan di Unit Rawatan Intensif, Pusat Pengasingan Kebangsaan.


Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam (NBD), yang diadakan di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan, petang tadi.


Pada kesempatan itu, Yang Berhormat mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat NBD mengucapkan takziah kepada keluarga kes berkenaan.


Sementara itu, Yang Berhormat juga turut memaklumkan bahawa pada hari ini, sebanyak 106 kes baharu jangkitan COVID-19 disahkan, yang membawa jumlah keseluruhan kes COVID-19 kepada 8,150 orang.


Menurut Yang Berhormat, terdapat 41 tambahan kes-kes baharu kepada 10 kluster aktif yang sedia ada pada hari ini, yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya.


“Terdapat tiga kluster baharu telah dikesan sebagaimana yang tertera di skrin sekarang. Kesemua kluster baharu ini adalah kluster rumah persendirian yang melibatkan sembilan kes.


“Dalam pada itu, satu kluster telah ditutup setelah tidak ada kes dikesan di dalam kluster berkenaan selama 28 hari. Kluster yang ditutup ialah Kluster Champion 7 - Posh Elegance. Oleh demikian, jumlah kluster yang aktif adalah 146 kluster,” jelas Yang Berhormat.


Selain itu, Yang Berhormat menyatakan lagi, terdapat dua kes import yang dicatatkan pada hari ini, iaitu satu kes tiba ke NBD dari Manila dengan menaiki Penerbangan Diraja Brunei BI684 pada 29 September 2021; dan satu kes tiba ke NBD dari Morocco melalui Malaysia dengan menaiki Penerbangan Diraja Brunei BI874 pada 22 September 2021.


Manakala, tambah Yang Berhormat, terdapat 54 kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.


Dalam pada itu, Yang Berhormat juga memaklumkan, 140 kes disahkan sembuh pada hari ini, yang membawa jumlah kes yang sembuh di NBD kepada 5,774 kes, manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 2,315 kes.


“Di kalangan kes-kes yang sedang ada dalam rawatan sekarang, lima kes adalah dalam Kategori 5 dan sedang dirawat di Unit Rawatan Intensif.


“Kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan dua daripadanya juga memerlukan bantuan mesin tambahan Heart / Lung Machine (ECMO),” ujar Yang Berhormat lagi.


Sementara itu, tambah Yang Berhormat, 36 kes lain dikategorikan dalam Kategori 4, iaitu memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi.


Jelas Yang Berhormat, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 3,700 sampel diuji bagi virus SARS-CoV-2, yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 382,821 ujian.


Attachments
Created at 07/10/2021 04:37 PM by Info Admin 1
Last modified at 07/10/2021 04:45 PM by Info Admin 1