Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Hanya 88.7 peratus warga emas terima 1 dos vaksin

Hanya 88.7 peratus warga emas terima 1 dos vaksin


88 peratus.jpg

Oleh : Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Azmah Haji Ahad



BERAKAS, Rabu, 6 Oktober. - Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam (NBD), yang diadakan di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan, petang tadi, memaklumkan bahawa pada 5 Oktober 2021, seramai 6,720 orang menerima suntikan vaksin COVID-19.


Ini bermakna, tambah Yang Berhormat, di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan, seramai 315,130 orang menerima satu dos vaksin COVID-19, iaitu 69.5 peratus daripada jumlah penduduk negara.


Manakala, jelas Yang Berhormat, 203,947 orang melengkapkan dua dos vaksin COVID-19, iaitu 45.0 peratus daripada jumlah penduduk negara.


Dalam kalangan warga emas pula, Yang Berhormat menegaskan, hanya 88.7 peratus rakyat dan penduduk negara ini yang berumur 60 tahun ke atas menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.


Menurut Yang Berhormat, ini bermakna, lebih daripada 5,000 orang warga emas masih belum mendapatkan vaksin.


“Data dari Pusat Pengasingan Kebangsaan mendapati kes-kes positif yang berumur 60 tahun ke atas adalah lima kali lebih mudah dikategorikan dalam Kategori 5 dan memerlukan bantuan mesin pernafasan.


“Vaksinasi, terutamanya dalam kalangan warga emas adalah sangat penting bagi mencegah kesan COVID-19 yang teruk,” terang Yang Berhormat.


Sementara itu, Yang Berhormat turut memaklumkan bahawa pada masa ini, masih terdapat slot-slot kosong bagi Khamis, 7 Oktober 2021.


Kata Yang Berhormat, terdapat 1,400 slot di Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup (Indoor Stadium) dan 560 slot bagi Pusat Vaksinasi Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam, Temburong yang masih dibukakan untuk tempahan.


Orang ramai yang ingin membuat tempahan vaksin, tambah Yang Berhormat, adalah disarankan untuk mengisikan slot-slot berkenaan melalui aplikasi BruHealth.


Sementara itu, jelas Yang Berhormat, hasil daripada pemantauan agensi-agensi penguatkuasaan yang dilakukan semalam semasa larangan keluar rumah dari jam 8.00 malam hingga 4.00 pagi, sebanyak 35 pelanggaran arahan tersebut di seluruh negara dikeluarkan denda kompaun.


Tegas Yang Berhormat, orang ramai adalah diingatkan untuk mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan demi memulihkan semula keadaan negara daripada jangkitan COVID-19.


Attachments
Created at 07/10/2021 04:50 PM by Info Admin 1
Last modified at 07/10/2021 04:50 PM by Info Admin 1